Saturday, 5 September 2020

Mahkamah Buruh (Siri 1)

Mahkamah Buruh adalah sebuah mahkamah separa legal (quasi-judicial) menyediakan medium pendengaran yang adil, mudah, cepat dan murah, sebagai alternatif kepada mahkamah sivil sedia ada. 

Bidang kuasa Mahkamah Buruh adalah menyiasat dan mengadili kes tuntutan pekerja berkaitan kewangan (monetary) seperti gaji yang layak dinikmati melalui kontrak perkhidmatan, Akta Kerja 1955, perjanjian kolektif, polisi syarikat, dan sebagainya. 


Ciri-ciri Mahkamah Buruh

a) membicarakan tuntutan kewangan tanpa had tuntutan;

b) membicarakan tuntutan dengan prosiding tidak formal tetapi mematuhi prinsip keadilan sebagaimana mahkamah sivil;

c) Mudah - Pengendalian kes buruh tidak kompleks seperti di mahkamah sivil. Tiada banyak borang perlu diisi atau banyak prosedur untuk dipatuhi.  Pekerja (pengadu) dibantu untuk memfailkan tuntutan termasuk panduan mengira tuntutan. 

d) Murah - Tiada bayaran dikenakan kepada mana-mana pihak. Pegawai akan cuba menyelesaikan kes sesegera mungkin untuk mengurangkan kos yang perlu dikeluarkan oleh pekerja.  


Bidang kuasa 

a) Mengendalikan tuntutan oleh pekerja bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955;

b) Mengendali dan membuat keputusan ke atas tuntutan pekerja bawah Seksyen 33 Akta Kerja 1955;

c) Mengendalikan tuntutan kontraktor kecil bagi buruh terhadap kontraktor;

d) Mengendali tuntutan ganti rugi notis oleh majikan terhadap bekas pekerjanya yang berada bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955.

e) Menyiasat dan mengesahkan atau menolak keputusan majikan melalui siasatan bawah Seksyen 14(1) Akta Kerja 1955;

f) Mendakwa majikan yang gagal mematuhi Perintah yang dikeluarkan melalui kes buruh;

g) Mengendali tuntutan melalui Seksyen 69, 69(c) dan 69B Akta Kerja 1955; 


Kes yang telah dirujuk ke Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk pemulihan kerja (reinstatement) tidak boleh difailkan di Mahkamah Buruh untuk tuntutan berkaitan penamatan. Walau bagaimanapun, tiada halangan untuk tuntutan yang tiada kena mengena dengan penamatan seperti tuntutan gaji kerja lebih masa atau tuntutan gaji cuti bersalin. 


Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Buruh

Pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Buruh boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh menerima keputusan tersebut. 

No comments:

Post a Comment

Umur Persaraan

P ada masa ini, umur persaraan minimum bagi sector swasta adalah 60 tahun setelah   Akta Umur Persaraan Minimum 2012 atau Minimum Retirement...